Aku Hanya Seorang Posmen

Menyedari diri yang ditaklifkan dengan amanah berat seorang khalifah, terkadang diri merasa tidak mampu. Namun, berkat rahmat dan kasih sayang-Nya…Dia mempermudahkan segala urusan, melicinkan segala perancangan dan menunjukkan jalan… sehingga berkat usaha dan penat lelah, maka terbinalah wajah-wajah baru yang memancarkan cahaya Islam yang dulunya diliputi kabut dan debu Jahiliah. Betapa lemahnya seorang hamba, pelupa sifatnya….terkadang diri merasa begitu berjasa. Bisikan syaitan pastinya sentiasa cuba menyesatkan anak Adam tidak terlepas yangbergelar para da’I dan da’iah.Bila hati mula berbunga tatkala melihat anak didik yang dulunya jahil, jauh dari kehidupan islam mula mengorak langkah mendaki anak tangga menuju keredhaan Ilahi, menapak bersama di jalan dakwah…syaitan mula menyucukkan jarumnya, di hati para da’i. “wah, hebatnya dia sekarang. Kalaulah bukan kerana usahaku dulu tentu dia masih lagi …….” “wah, hebat anak halaqahku, berkesan rupanya didikanku selama ini” ….dan berbagai lagi bisikan lain, semuanya bertujuan memesongkan tujuan sebenar seorang da’I berada di jalan da’wah. Para murabbi mula mengira-ngira sudah berapa ramai anak didik yang berjaya di sedarkan dan dikembalikan, mengira-ngira begitu banyak jasa ditabur buat umat manusia… Menerbangkan mereka dalam angan-angan dan ta’jub pada diri…sehingga tujuan sebenar untuk mencari keredhaan Allah mula dikaburi oleh puja dan puji manusia.
Demi mengelakkan dari semua fitnhah-fitnah syaitan ini, seorang da’I itu perlu menyedari bahawa dia hanyalah seorang insane biasa yang juga mengharapkan Hidayah dan petunjuk dari Allah, bukan sebagai pemberi petunjuk. Ia bolehlah dianalogikan da’I itu seperti seorang ‘posmen’. Ya, hanya seorang posmen yang tugasnya menyampaikan surat-surat, serta bingkisan dan hadiah dari pemberi kepada penerimanya. Hanyalah sebaga media perantara. Dalam kondisi seorang da’I, kita tidak lebih hanyalah seorang insane yang diamanahkan untuk meyampaikan Hidayah Allah kepada sesiapa yang dikehendaki olehNya. Hidayah Allah tak akan sampai atau terhalang hanya semata-mata kerana sedikit atau banyaknya usaha kita. Semuanya telah tertulis di Lauh Mahfuz. Dan apa yang kita lakukan sekarang adalah dalam rencana mencari keredhaan-Nya. Ini semua semata-mata untuk menyedarkan kita bahawa kita tetap seorang hamba yang lemah, tidak lebih dari itu. Moga-moga, setiap usaha yang kita lakukan di jalan dakwah semakin mendekatkan kita kepada redhaNya bukannya menjadikan kita semakin merasa hebat di kalangan manusia sekeliling.
Bersyukurlah wahai posmen-posmen, kerana..walaupun engkau hanyalah posmen, tetapi kerana kerja itulah engkau bisa mendekati Tuan Besar mu, engkau bisa mengenaliNya lebih dekat, malah Dia juga mengenalimu. Tidak semua orang bisa sedekat itu, melainkan mereka-mereka yang sudi menghambakan diri untuk menjadi posmenNya. Semakin banyak kiriman yang dihantar, semakin bagus prestasinya, maka semakin ia disayangi.tapi, jangan dilupa posmen juga memerlukan 'kiriman' Allah. Sentiasalah kita berusaha memperbaiki dan bermuhasabah tentang keadaan kita agar kita tidak lupa dan makin jauh dari Allah, sedangkan kita bertungkus lumus, menyampaikan 'kiriman-kiriman' Allah buat umat manusia. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 44, "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri....."
Seorang posmen itu, akan dinilai oleh Tuannya, samada tugasnya dijalankan dengan baik atau tidak. Prestasi kerjanya bukanlah semata-mata penentu untuk kiriman tersebut sampai atau tidak kepada manusia kerana Dia yang mengirimkan berkuasa untuk menyampaikan kiriman tersebut walaupun tanpa bantuan posmen tersebut. Baik atau buruk komitmennya dalam menyampaikan kiriman akan menjadi markah sebagai penilaiannya oleh Allah. Semakin tinggi komitmen yang diberikan oleh posmen tersebut kepada pekerjaannya, maka semakin dia mendapat tempat di hati BOS nya, dan semakin tinggi darjatnya berbanding posmen-posmen yang lain.
Jangan terlalu kecewa andai kiriman tidak sampai, dan jangan terlalu berbangga bilamana kiriman tersebut telah selamat diserahkan pada yang berhak, kerana tiada apa yang kita berikan, semuanya telah ditentukan."Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri" (57;22-23). Kita hanya menunaikan tanggungjawab sebagai posmen. Andainya kiriman tersebut tidak juga sampai, setelah kita berusaha sebaik mungkin, maka serahkanlah semuanya kembali kepada pengirimnya, kerana Dia lebih mengetahui. Teruslah berkerja wahai posmen! Kerana gajinya hanya ‘kan bisa kita tuntut di akhirat kelak. Andai kerja kita bagus, mungkin ada BONUS buat kita.
Hanya Allahlah yang selayaknya kita letakkan pengharapan dan hanya padanyalah kita ‘kan beroleh ketenangan. Ameen…

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Wasiat dari para pemimpin terdahulu

Syd. Abu Bakar ra. Berkata :
Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan, iaitu:

  • ~Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya,lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya
  • ~Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yangzalim.
  • ~Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akandipergunakan untuk kejahatan pula.
  • ~Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna.

Syd. Umar Al Khattab Rha. berkata :

  • ~Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
  • ~Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akandihina.
  • ~Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
  • ~Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pastikehormatan dirinya akan terjaga.

Syd. Othman Ibnu Affan Rha. berkata :
Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:

  • ~Hatinya selalu berniat suci.
  • ~Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.
  • ~Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadapdosa).
  • ~Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah.
  • ~Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

Syd. Ali Karramallahu Wajhah berkata :

  • ~Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.
  • ~Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripadaperbuatan yang sia-sia.
  • ~Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambilpangajaran daripadanya.
  • ~Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat warak (memelihara diri dan hati- hati daridosa).
  • ~Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.
  • ~Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.
  • ~Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.
  • ~Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.

~moga bisa kita jadikan sebagai renungan

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

sebuah rumah di lereng bukit...

Kaki ini masih terus melangkah.......

Indahnya alam ciptaan tuhan....
Suatu ketika, dalam perjalanan dari suatu tempat untuk kembali ke rumah sewa, waktu tu di atas bas, dan perjalanan melalui pesisiran pantai. Melihat ke luar bas, pemandangan pantai di waktu pagi, begitu indah di pandangan mata. Emm, indah benar alam maya ini...hebat sungguh penciptanya. Apakah hikmah di sebalik penciptaan ini? lantas terlintas di fikiran saat itu, firman Allah dari surah Ali-Imran,ayat 190-191..."Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; MahaSuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.", lantas bibir menutur kalimah 'Rabbana ma khalaqta haza bathila, subhanaka faqina 'azabannaar. Ameen.' Alhamdulillah, Allah masih sudi mengingatkan diri ini, untuk berdoa kepadaNya di saat melihat keindahan alam yang bisa memukau. ya ,keindahan inilah juga yang banyak menghanyutkan manusia-manusia dari mengingati Allah,untuk mengejar keindahan dan kenikmatan dunia yang sementara.
tanpa disedari, bas sedang berhenti di bahu jalan...'mungkin bas mahu mengambil penumpang' tingkah hati seketika. pandangan yang dihalakan ke pesisir pantai sedari tadi di lontar pula ke bahagian hadapan bas, kelihatan 3 orang penumpang menuju ke tempat duduk yang masih kosong. seorang daripadanya menuju ke arah tempat duduk kosong di sampingku, seorang nenek tua. ku tersenyum padanya dan menganggukkan sedikit kepala sebagai tanda sapaanku padanya. pandangan dilontar kembali ke pantai, masih tidak puas memandang alam ciptaan Tuhan itu.

Seorang nenek itu..
"Buku fotostat?" kedengaran suara dari sebelah, oh terlupa nenek tadi ada di sebelah lantas memalingkan kepala ke arahnya. "Ya?" "Buku tu." nenek tersebut menunjuk ke ribaku. terpandang buku nota Teori dan Amalan Pedagogi' yang hampir lusuh di ribaku yang dipinjam dari seorang senior . Aku tersenyum padanya "Ha'ah, nek.photostat je' kataku sambil tersenyum. "Bagus juga, jimat sikit" ......dan perbualan kami makin rancak. Dia seorang yang peramah....Dia bercerita tentang perjalanan hidupnya, seronok mendengar ceritanya, lebih-lebih lagi bila dia menceritakan pengalamannya berada di Kelantan selama setahun untuk belajar agama. Excited pula bila orang lain bercerita tentang negeri kelahiranku.pelbagai topik dibicarakan, dari perkenalan diri masing-masing, hinggalah isu terkini. Waktu itu, masih hangat isu tentang Anwar Ibrahim dan nenek tersebut begitu hebat mengeluarkan pendapatnya. 'Hebat juga nenek ni, semua benda dia tahu. Mantap, ni la nenek zaman siber' detik hatiku sendiri.
"Nenek tinggal di mana?"
"di Kampung Bondulan, kau?"
"saya di IP, nek. dekat rumah sewa. dekatlah kan dengan kampung nenek?"
"Ya la tu. Aku mau turun depan tu, kau turun di mana?"
"Oo, biasa saya turun kat depan sikit lagi...tapi turun situ pun dekat juga."
kami melangkah kaki bersama......
aku berjalan disampingnya, melihat tubuhnya yang kecil itu (takat bahu orang dewasa), dia kelihatan cukup sihat dan kuat, memegang beberapa beg plastik yang agak besar. tiada orang akan percaya dia berumur 75 tahun.
'aku tinggal seorang, dah biasa. Kau tau, aku bercerai masa umur 17 tahun...'
'17 tahun nek? nenek kawin umur berapa'
"14 tahun, mamakku kasi kawin"
aku termenung seketika.....
dan lidahnya masih berbicara, menceritakan kisah suka duka hidupnya,duri dan ranjau yang ditempuh sebagai seorang wanita yang masih muda, sebagai seorang ibu kepada 3 anak yang masih kecil. dan telinga ini masih setia mendengar..... setiap patah katanya benar-benar bermakna.
kami tiba di persimpangan......
"Nek, rumah nenek jauh lagi ka? Rumah saya dah sampai ni lepas selekoh tu jak."
"Oh, ya ka. ok la, balikla kamu, rumah aku ndak jauh lagi tu.Naik bukit sana, sampai la" tangannya ingin mengambil kembali barangnya dari peganganku.
"Nek, saya mau hantar nenek pergi rumah la. boleh ka?"
"Boleh bah, kalakau" aku tersenyum, nenek juga.
"Betul kamu tidak ada kerja sekarang."
"Ndak nek, boleh jalan2,kenal rumah nenek"
Dan perjalanan kami diteruskan.....
kakiku mula merasa penat, nafasku mula termengah-mengah...
peluh mula menitik di dahi...
kuperhatikan pada wajah tua itu, masih tenang seperti tadi.
Isyyy, malunya aku.
Bukit didaki, lurah dituruni, belukar diharungi....
dan akhirnya kami sampai...
kelihatan sebuah rumah kecil menanti ketibaan kami....

Apakah ini anugerah Tuhan untukku?
dalam langkah kakiku ini, aku terfikir sendiri apakah nenek ini anugerah Tuhan untukku? untuk memberi nasihat buatku? untuk memberi sesuatu yang mungkin aku terlupa....
di saat iman sedang diuji hebat,
di saat aku sedang mencari ketenangan di suatu sudut dunia ini,
nenek ini muncul..
sepatah demi sepatah katanya menyelinap masuk ke kalbuku.
"Nek berapa umur nenek?" "70 tahun lebih. tahun ni 75 rasanya. "Wah, hebatnya nek! masih sihat, apa petuanya" diri ini kagum. sepatah katanya menikan jantung. "Bersihkan hatimu" dan aku sentiasa sakit-sakit, apakah jua kerana hatiku?
katanya "kita akan diuji dengan pelbagai benda, tapi yang paling penting...sentiasa bersihkan hati. buang rasa dengki, hasad. jika orang membenci atau mengata kita, biarkan saja, sentiasa bersihkan hati.'
katanya lagi. "Jika kita tidak minta balasan maka Allah yang akan membalasnya.."

Indahnya rumah di lereng bukit....

Bersambung........cerita tentang seorang nenek penuh misteri....

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hakikat kehidupan...

"assalamualaikum, termenung nampak."
"Eh, Ain. Wa’alaikumussalam….bila sampai? Tak dengar bunyi kereta pun"
„hmm, macamana nak dengar, anti tu dah terbang ke angkasa lepas, badan je kat sini....dari tadi ana ana nampak anti asyik termenung je, fikir pasal apa ni? masalah umat ke?"
„ukhti ni, mesti nak mengenakan ana...takdelah, Cuma...."
„Cuma apa? Boleh ana tolong"
"semalam ana ada melawat laman web harunyahya, ia menceritakan tentang hakikat kehidupan, sampai sekarang ana masih terfikir……….macam mana ye, kalau hidup ni hanyalah suatu fantasi, khayalan, kita berada dalam alam maya…..macam tak masuk akal je" Zainab mula menggaru-garu kepalanya, nampak kedutan pada dahinya, mungkin banyak berfikir.
"Oooo, sebab itukah ukhtiku ini, termenung je dari tadi….hmm, nak dengar cerita tak?"
"ishhh, ukhti ni, ana tengah pening fikir pasal alam maya ni, dia nak bercerita pulak. Cerita apa tu, best ke?"
"mestilah best, cuba dengar baik-baik…."
Keadaan sunyi, tiada kata-kata yang terbit dari bibir.....seminit, dua minit......
„Ain! Cepatlah cerita, ana tengah tunggu ni!" tiba-tiba je Zainab menjerit, hmm tak sabar betul, he he, saja nak test.
"pada suatu malam yang indah, ada dua orang sahabat sedang tidur nyenyak di dalam sebuah bilik,namanya Ani dan Mimi. Masing-masing diulit dengan mimpi yang indah. Mimi bermimpi melancong ke New York bersama keluarga, di sana mereka makan-makan dan membeli belah. Ketika sedang bersiar-siar di tepi pantai,. Tiba-tiba seekor ikan paus datang menghampiri pantai. Dalam sekelip mata keadaan menjadi kelam kabut dan semua orang di kawasan tersebut bertempiaran lari dan ikan paus tersebut muncul di hadapannya, dan membuka mulutnya seluas-luasnya, kerana terlalu takut, Mimi terus menjerit sekuat-kuatnya. Tiba-tiba dia terasa ada orang memegang bahunya….
"mimi, kamu mengigau ni!" Ani menggoncang-goncang bahu sahabatnya, Mimi.
"Eh, aku mimpi ke" Mimi mengurut-ngurut dadanya, ‘nasib baik’ getus hatinya.
"Apa la kamu ni, nak mimpi pun jangan la kacau orang nak tidur. Aku baru je mimpi dapat hadiah kek harijadi, tak sempat makan lagi tu, kau dah kacau......"
"Eh, bukan ke kau ada dalam mimpi aku tadi? kita pergi melancong dengan keluarga aku kat New York...."
"Ala, kau ni mimi, tu kan mimpi...."

Ain menjeling ke sisi, Zainab masih menongkat dagu, menunggu butir-butir bicara yang seterusnya keluar dari kedua ulas bibir Ain.
„lagi?"
„Dah lah, cukup sampai situ, anti rasa apa yang ana nak cerita?"
"Macam lebih kurang apa yang ana baca semalam, kehidupan dalam mimpi, betul tak?"
"hmm, kalau anti. Apa yang anti rasa berbeza antara kehidupan kita sekarang dengan mimpi?"
„Isyy, banyak la Ain. Contohnya mimpi tu sekejap je, pastu dia macam tak berapa jelas and then...."Zainab menggaru-garu kepalanya yang tak gatal, mencari idea untuk menjawab persoalan yang dikemukakan sahabatnya.
"Ain, itu perasaan kita ketika kita dah keluar dari alam mimpi. Bagaimana perasaan kita ketika masih dalam mimpi, sama saja kan? Pernah tak anti melihat ada orang tercungap-cungap bila bangun dari tidur akibat mimpi dikejar harimau, atau berpeluh-peluh kerana keletihan di dalam mimpinya. Sebenarnya kehidupan kita di dunia ini juga begitu. Kita akan merasakan bahawa hidup kita di dunia sekejap sahaja bilamana kita telah keluar dari alam ini. Allah berfirman di dalam al-Quran, surah al-Mukminun ayat 112-114.
‚Dia (Allah berfirman, „berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?". Mereka menjawab, „kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada mereka yang menghitung." Dia (Allah) berfirman, „kamu tinggal di bumi sebentar sahaja jika kamu benar-benar mengetahui."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Allah tahu kepenatanmu..

Dalam perjalanan menyelusuri hidup, adakalanya kita dihidangkan dengan pelbagai pengalaman suka dan duka. Sifatnya manusia bila gembira dan bahagia sahaja tentu tawarlah hidup, seperti makanan tidak bergaram. tersenyum sendiri mengenangkan suatu kisah yang berlaku padaku seminggu yang lalu. boleh dikatakan, ia merupakan minggu yang agak sulit untuk dilalui. pelbagai tugasan dan assignment yang menunggu untuk diselesaikan dengan amanah-amanah lain yang terpikul di bahu....begitu terasa diri ini tak mampu untuk menampung. Sehingga suatu ketika diri ini terjelepuk di hadapan pintu rumah, dengan siap berpakaian ke kuliah, membawa buku-buku di tangan, saat itu telah siap untuk ke kuliah....aku tersedu sendiri, terasa beratnya beban dupundakku,rasa tak tertanggung. mengapa diri ini begitu lemah? mungkin kerana lemahnya iman saat ini, maka ia turut meng'effect' kudratku untuk terus berdiri dan melangkah ke depan. suatu ketika seorang sahabat datang menyapa, "Akak menangis?" kulihat wajahnya, dia cuba tersenyum padaku beri kekuatan. Aku menggeleng, menandakan aku tiada apa-apa. "Akak jom saya hantar pergi kelas, akak dah lewat kan?" Kulihat dia menghalakan topi keledar, ku tersenyum. Air mataku makin laju mengalir, tapi aku yakin bukan dengan sebab yang sama.Ya, aku makin merasakan Allah sentiasa menghantarkan bantuan saat aku memerlukan. Aku dapat rasakan kasih sayangnya tercurah saat diri terasa begitu lemah. dalam diam, ku tersenyum sendiri. malu pula terasa, baru sedikit ujian diberi, dah menitiskan airmata. belum lagi diuji seperti saudara seakidah di Palestin sana, masih ramai orang di luar yang lebih layak untuk menangis. namun kadang-kadang dengan menangis di hadapan Tuhan, aku merasa seperti seorang anak yang ingin bermanja dengan orang tuanya. "akak, nak terus ke kuliah?" pertanyaan Zu mematikan lamunanku.dah sampai rupanya di universiti "Oh, tak pelah, akak punya kuliah lambat lagi, akak dah terlepas temu janji dengan lecturer tadi. tak pe, turunkan je dekat sini". ku buka topi keledar, seraya kuhadiahkan senyuman yang paling ikhlas aku usahakan saat itu. Diri ini terasa nyaman seketika. Namun kepenatan hari itu masih belum tamat, aku perlu melangkah lagi dan terus melangkah. masih banyak agenda yang dirancang untuk hari ini.Habis kuliah, aku perlu melaksanakan beberapa lagi tugas lagi, discussion dan amanah lain yang belum sempat dilaksanakan. dalam kesibukan ke sana dan ke mari dengan keadaan diri yang masih belum stabil.Tanpa disedari, Allah ada agendanya sendiri buatku, aku 'tercampak' dengan seorang lagi sahabat, di tepi jalan di bawah pokok yang agak rendang. sebenarnya motornya rosak tiba-tiba dan ku putuskan untuk menemaninya sehingga ada yang datang membaikinya. Ditakdirkan, orang yang membaikinya datng lewat, kami lantas berborak-borak. Saat itu angin bertiup sangat tenang, cuaca agak redup dan sungguh mendamaikan. Aku pejamkan mata rapat-rapat menikmati suasana tersebut. terasa badan begitu relax, fikiran juga...."Akak, saya dapat rasakan seolah-olah Allah memberikan sedikit peluang untuk saya rehat, bertafakur sejenak,merenung keadaan diri. Bestkan, duduk sini, angin bertiup, redup rasa relax. hilang sekejap penat dan letih. sebenarnya sekarang ada discussion, tapi kitorang tangguh sampai jam 6 nanti, kawan ada hal. Pak cik motor ni pun lambat betul datang cam nak bagi chance je kita duduk-duduk kejap." dia masih menjadi pendengar paling setia "akak, saya rasa macam nak tidur je kat tepi jalan ni, penat sangat" kulihat jalan yang agak tidak lengang. sesekali ada kereta dan motor melintasi kami, pasti mereka pelik. dua orang wanita bertudung labuh bersandar di pokok di tepi jalan, menghadap belukar sedikit membelakangi jalan. "ok, akak hadang kamu. rehatlah" Setelah seketika,aku kembali membuka mata, masih menikmati suasana petang yang damai, memulakan bicara. "Akak, saya rasa sangat penat sejak kebelakangan ni, sering terkejar-kejar, asignment, study, dakwah....saya rasa tak dapat buat dengan baik dalam semua aspek. management saya agak teruk kebelakangan ni." Aku terasa ingin berkongsi dengan sahabat yang pastinya amat memahami keadaanku. kulihat dia ambil sesuatu dari beg, dan menghulurkan padaku, sebuah buku 'membangun ruh para da'i' judulnya.. "uhkti, ana baru baca buku ni.Cubalah baca, especially bab ni.." Dibuka buku tersebut, terpampang satu tajuk 'Allah tahu kesibukan kita'. Aku tersenyum..........Suasana senyap seketika, menikmati angin sepoi-sepoi, terasa kasih sayang Allah yang menggunung."Ukhti tahu kenapa Allah memilih untuk kita berada di jalan ini, dan pada sesetengah orang pula bukan di jalan ni?" Aku masih memandang wajahnya, aku tahu dia ingin memberitahu jawapannya. "Orang lain yang tidak berada di jalan dakwah, bukannya bermakna mereka kurang baik, kurang beriman, begitu juga kita yang berada di jalan ini tidak semestinya kita lebih baik, lebih layak masuk syurga. tapi, yakinlah Allah tahu di posisi mana kita boleh buat yang terbaik untuk menggapai redhaNya. Dan berbuatlah yang terbaik dan seikhlas mungkin bilamana kita memilih jalan ini sebagai hidup kita. Nikmati jalan ini, kerana tak semua bisa merasai apa yang kita rasa. hanya orang yang berbuat di jalan Allah dapat merasai nikmatnya kepenatan ini.kita akan merasa lebih dekat dengan Allah setiap kali kita diuji. kamu dapat rasa?" Aku tersenyum, benar sekali. saya dapat rasakan, sangat-sangat merasakannya. sekarang lebih-lebih lagi. "jazakillah akak, sayang akak kerana Allah."kedengaran bunyi motor berhenti, rupanya pak cik repair motor dah sampai. Alhamdulillah dah hampir pukul 5 lebih, gelap,macam nak hujan. "Terima kasih Ya Allah, syukurku padamu begitu melangit. moga ianya menambah kedekatan hatiku padamu.Ameen ya Rabbal 'Alamin.'Dan kerana Tuhanmu, maka bersabarlah!'

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Manusia dalam kehidupan ini

Setiap langkah kaki ku atur, tidak kulepaskan setiap pemandangan yang menyinggahi ruang mata ini untuk ku tadabburi dan ku ambil ibrahnya.....agar jadi panduan dalam perjalanan menuju Allah.
Untuk DIRIMU dan DIRIKU jua....
Suatu petang yang damai, di perhentian bas sebuah pusat pengajian tinggi, saat angin bertiup sepoi-sepoi, kelihatan berbagai ragam manusia kuperhatikan. ya, berbagai ragam yang sukar untuk di 'describe'kan. seketika fikiran melayang mengingati patah-patah perkataan dari buku Penyucian Jiwa yang ditatap beberapa hari lepas.

Sesungguhnya manusia dalam kehidupan ini, kehidupan taklif dan cubaan, ada di antara dua jalan, iaitu jalan hidayah dan jalan ghiwayah (bengkok). kedua-dua jalan itu berbeza sejak dahulu hingga sekarang. kedua-duanya mula berjalan menuju tempat kembali yang sesuai dengan manhaj yang dipegang teguh dan amal yang disajikannya. maka barangsiapa menyucikan jiwanya dengan taqwa,ia telah beruntung. dan barangsiapa yang mengotorkannya dengan maksiat, maka ia telah rugi. Allah SWT berfirman:
" Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwan. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan dirinya. dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya." (As-Syams,8-10)
-dipetik dari Buku Penyucian jiwa, Abdul Barra' Saad bin Muhammad At-Takhisi.

Sememangnya kehidupan manusia itu tidak lari dari berhadapan dengan ujian dan cubaan. seolah-olah hidup ini hanyalah satu jangkamasa untuk kita menerima ujian demi ujian, cubaan demi cubaan.dan hakikatnya... itulah kehidupan. 'Maha Suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.' (Al-Mulk;1-2)

Mengenangkan manusia dalam kehidupan ini, hati sebak memikirkan.....kita bagaikan hamba yang cukup bebas memilih haluan hidup masing-masing, tanpa mengalami siri penderaan mental dan fizikal,seperti hamba yang biasa kita lihat pada zaman dulu. Dan tanpa berterima kasih kepada 'tuan' yang begitu baik hati kita memilih untuk menderhaka. sedihkan??
satu pesanan-Nya,
"Tiada paksaan untuk(memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana barangsiapa yang engkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah memegang tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah,2:256)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS